Wednesday, September 30, 2009

september

Hari ini adalah penghujung September.Sebenarnya kalau difikirkan tentunya banyak peristiwa yang dilalui.Banyak yang saya rancangkan tidak menjadi.Bukan salah siapa segalanya tidak menjadi, salah sendiri juga maklumlah tidak bersungguh-sungguh.Jika bersungguh-sungguh tentu semuanya akan membuahkan hasil.Bosan dan malas memanglah pembunuh segala usaha yang ada.Sukarnya untuk mendapat semangat seperti suatu masa dulu tika baru belasan tahun.Ada sahaja idea untuk dibuat.Biarpun perancangan tidak menjadi namun semangat tidak mudah patah.Syawal masih belum berakhir.Jemputan raya masih tidak berakhir lagi.Malah ada jemputan yang tidak dapat dihadiri.Makanan hari raya yang digemari tahun ini adalah laksa.Tahun ini mak tidak membuat laksa sebab keadaan tidak mengizinkan.Pun hari raya ketiga saya dapat melepaskan kempunan memakan laksa juga bila sahabat saya masakkan.Diam tidak diam sudah tiga tahun berlalu.Saya teringatkan sewaktu melawat Negara China.Paling mengagumkan dapat mendaki tembok yang dikenali, The Great Wall pada 1 September 2006.Tidak sangka dapat juga sampai ke puncak melihat panorama yang indah.Biarpun ada orang kata tempat yang saya sampai itu tidak setinggi mana pun.Janji dapat juga merealisasikan kenyataan daripada impian.Selama ini hanya mendengar cerita sahaja yang mengatakan tempat inilah antara tujuh benda ajaib di dunia.Siapa tidak kagum!Kalau dapat peluang lagi, teringin pula merasa waktu salji turun!Semuanya tunggu durian runtuh...........

Monday, September 21, 2009

lagu

Saya sebenarnya bukan kaki mendengar lagu.Pun ada juga saya mendengar bila sesekali memasangnya.Malah di pejabat saban hari suasana di sekeliling akan terdengar lagu-lagu berkemundang di radio.Ada yang buka sinar fm, ada yang buka siaran hot fm.Bila tiba waktu, saya akan membuka radio ikim untuk mendengar mengaji dan azan berkumandang.Ada juga lagu yang merdu didengar dan menusuk di kalbu.Saya sendiri banyak membeli koleksi lagu-lagu nasyid kumpulan Raihan.Pun sejak vokalis utama nazrey keluar dari Raihan, saya tidak lagi membeli koleksi kumpulan Raihan.Saya sudah beralih arah membeli koleksi nasyid kumpulan Rabbani.Merdu sungguh suara ustaz asri ibrahim mengalunkan suaranya.Setiap albumnya saya beli.Saya amat meminati munajat, pergi tak kembali, hidayah malah boleh dikatakan keseluruhannya menusuk kalbu.Saya tidak tahu apakah setelah ustaz asri ibrahim meninggal pada 13 ogos 2009, apakah saya akan membeli koleksi album kumpulan ini, entahlah........Yang terbaru saya lihat album kenangan ustaz asri 1969-2009.Sehari selepas pemergian beliau ke rahmatullah, saya nukilkan dua buah puisi dan saya hantar ke penerbitan .Tidak tahulah tersiar atau tidak (semasa catatan dibuat).
Semasa catatan ini dibuat, saya baru sahaja pulang beraya dari Ipoh.Kononnya hendak beraya di Kuala Lumpur pula.Semasa memandu saya berhenti di perhentian Behrang. Sepanjang perjalanan tadi saya mendengar siaran hot fm yang dikendalikan liya.Tergerak pula hati saya menghantar sms meminta tiga buah lagu iaitu ketentuan, ayat-ayat cinta dan cuba kau cuba ke talian hot fm.Semasa memandu tika itu pukul 12.50 tengah hari, sms yang dibuat secara suka-suka itu mendapat layanan pertama kalinya di radio.Liya menyebut nama saya dan menyiarkan lagu cuba kau cuba nyanyian faizal tahir.Bagi saya seni kata lagu ini cukup mendalam dan hanya orang yang menghayati tidak akan tersasar kenapa dia menyukai sesuatu itu.Memandu bersendirian memang meletihkan.Namun saya sudah biasa menghadapinya.Pun sebelum saya berangkat, saya sudah singgah ke rumah teman lama yang saya kenali lebih kurang dua puluh tahun lalu.Teman saya ini pun sudah ketiadaan bapa.Segala-galanya berubah dari semasa ke semasa.Bila kakak ipar teman saya bertanya, berapa orang anak?Saya menggelengkan kepala dan cepat-cepat pula dia membuka cerita lain.Saya pun terpaksa ikut rentak.Tambahan raya aidilfitri terlalu banyak dipenuhi dengan hiburan di tv.Memang tidak pernah berubah dari dulu.Kelmarin saya menonton drama sedih lakonan rosyam nor berjudul salam terakhir.Lagu nyanyian sudirman memang menusuk.............seperti drama, kita juga melalui kehidupan realiti. Amin.

Saturday, September 19, 2009

Aidilfitri



Aidilfitri akan menjelang.Inilah hari yang ditunggu-tunggu setelah sebulan berpuasa.Saban tahun kita berdoa agar Aidilfitri mempunyai erti yang begitu bererti.Sudah lima tahun abah meninggalkan kami.Biarpun waktu saya banyak dihabiskan di ibu kota mencari rezeki, namun tempat kelahiran tidak dilupakan.Justeru sebagaimana biasa, saya akan balik ke Ipoh beraya bersama keluarga.Memang tidak banyak juadah yang dibuat sebab saya bukan jenis yang pandai memasak kuih tradisional atau kuih raya.Jadi terpaksalah beli sahaja di kedai.Beberapa tahun kebelakangan ini tradisi mengirim kad raya sudah tidak diamalkan.Hanya sekadar mengirim menerusi SMS.Kawan-kawan yang jauh dan dekat tidak dilupakan.Paling manis bila penulis yang saya anggap hebat seperti Shamsudin Othman mengirim ucap selamat menerusi SMS.Sudah lama tidak bertemu di majlis sastera sebab saya teramat sibuk.



Lama juga saya tidak menjenguk KEMUDI biarpun saban waktu Abu Hassan Ashari sering mengirimkan surat dengan pelbagai aktiviti.Rasa malas begitu menular sehingga saya rasakan kalau saya ada pun bukan menguntungkan sesiapa juga.Entahlah !sampai begitu sekali saya berfikir kerana sehingga saat ini, saya sering merasakan diri ini kerdil.Namun di sudut hati ini tidak sedikit pun melupakan KEMUDI dan Juga Kelab Sastera Dewan !Semuanya bagai terkubur di jiwa.Mungkin juga saya sendiri sudah kehilangan semangat untuk menghadiri majlis sastera setelah sekian lama aktif.Biasanya saya tetap tidak ketinggalan menonton teater Mahsuri pada 27 April 2009.Teater Mahsuri diarah oleh Fauziah Nawi dan skrip ditulis oleh Rahimidin .Selepas menonton teater Mahsuri , saya SMS pada Rahimidin Zahari menyatakan tidak kepuasan menonton teater itu macam tiada penyelesaian saja.Katanya apa nak buat, dia sendiri menontonnya.Selepas itu saya sendiri tidak bertanya dia ada menonton teater itu pada saat akhir.Begitupun Rahimidin itu "Kecil-kecil cili padi."
Ehh! tadi saya bercerita tentang raya.Apa yang menarik tentang raya adalah keseronokan berjumpa sanak-saudara dan kawan-kawan.Anak-anak saudara saya semuanya seronok beraya dan mereka pun saya tidak galakkan bermain bunga api.Orang yang paling rajin saban waktu adalah emak saya.Biarpun usianya telah lebih 70-an, tetapi dia masih gigih memasak dan macam biasa biasa akan berleter pada kami yang asyik leka dengan pelbagai hal.'Masakan emaklah yang paling sedap.Mungkin tiada tandingannya.Seorang lagi yang saya anggap pandai memasak adalah kawan baik saya Sheila.Dia memang pandai memasak serba-serbi.Saban waktu bila ada makanan , dia akan menjemput saya menikmatinya.Wow! semuanya sedap.Saya akan cakap pada sesiapapun yang saya ini hanya pandai "mengarang' dan menyusun kata-kata di dalam warkah.
Catatan;Saya bergambar bersama Amirul Hakimi yang saya panggil kimi atau mi sahaja.Ibunya Sheila berkata bolehlah jadi ibu angkatnya.

Saturday, September 12, 2009

Minggu Remaja DBP

Tanggal 13 September 1985 bersamaan hari Jumaat, tercatatnya sejarah diadakan Minggu Remaja.Bersempena dengan Minggu Remaja itu dilancarkan buku "Bunga Pelangi" dan 'Biarkan Aku Sendiri".Buat pertama kali dalam sejarah penerbitan tanah air, terhasil kumpulan karya yang seluruhnya ditulis oleh penulis remaja sendiri.Bunga Pelangi (Kumpulan Sajak),Biarkan Aku Sendiri (Kumpulan Cerpen).
Cawangan Remaja, Bahagian Penerbitan Umum, DBP merasa perlu diusahakan kumpulan karya oleh penulis-penulis berbakat yang terdiri daripada para remaja sendiri.Selama ini sastera remaja ditulis oleh orang dewasa, daripada kaca mata dan nilai yang dirasakan sesuai untuk sasaran pembaca.Majalah Dewan Siswa sejak terbit pada Januari 1979, telah menjadi wadah kreatif golongan penulis remaja yang berbakat besar.Apalagi pada waktu-waktu kebelakangan ini majalah itu mengambil inisiatif menyediakan lebih banyak halaman kreatif selain daripada memberi bimbingan kepada mereka.Hasilnya mengagumkan sekali.Kini pada setiap hari DS menerima hitung panjang 20 buah sajak, 600 buah sebulan, 7,200 setahun.Sidang editor menrima tidak kurang 5 buah cerpen sehari, 150 buah sebulan atau 1800 buah setahun.Sebahagian besar karya ini dikirimkan oleh penulis remaja sendiri.Cawangan berkenaan telah meneliti perkembangan kira-kira 100 orang penulis remaja yang memperlihatkan bakat dan kesungguhan yang baik di dalam bidang penulisan cerpen dan sajak.Berdasarkan pertimbangan mutu, mereka telah ditawarkan untuk menyertai kumpulan ini.Seramai 50 orang penulis cerpen telah telah diminta mengirimkan cerpen terbaharu dan belum pernah disiar di mana-mana.15 orang penulis remaja telah dipilih untuk kumpulan yang diberi judul Biarkan Aku Sendiri.Demikian juga, sejumlah 33 orang penulis telah ditawarkan menyertai kumpulan sajak Bunga Pelangi.Sebhagian besar sajak di dalam kumpulan ini telah tersiar di dalam majalah Dewan Siswa.
Di Sudut Penulis, Dewan Bahasa dan Pustaka, Pelancaran dua buah buku ini dilakukan oleh Prof.Datuk Ismail Hussein, Ketua I GAPENA.
Dewan Bahasa dan Pustaka menjadikan 48 orang penulis yang karyanya tersiar di dalam kedua kumpulan itu dari seluruh negara, sebagai anak angkat.DBP mengaturkan beberapa rancangan untuk mereka selama berada di Kuala Lumpur seperti lawatan, majlis dialog dan sebagainya.Ini dilakukan dengan kerjasama Unit Kegiatan Satera, Bahagian Pembinaan dan Pengembangan Sastera, juga kerjasama GAPENA, PENA dan Syarikat Utusan Melayu dan The New Straits Times.Antara penulis remaja yang karyanya termuat dalam Biarkan Aku Sendiri, ialah Ahmad Faizal Ahmad Radzi. Feridah Abdullah, Haliza Awang, Mohd.Sallehudin Mohd.Nahar, Nor Liza Hashim, Nor Shamilah Haji Taib, Nor Zaili Mohd Ish.Pausiyah Abd.Hamid, Roselawati Maidin, Salwati Othman, Siti Khuzan Zailani,Sharidatul Akma Abd.Rasit, Yusmarina Mohamed Yusoff,Zarihah Hassan, Zurina Shafie.
Manakala Kumpulan 'Bunga Pelangi" adalah Amaruszati Noor Rahim, Arazmi Seman,Azhar Ahmad, Chu E Liang, Fahmie, Tuan Faridah Syed Abdullah, Halilah Mohamad, Hamie, Jamilah Alias, M.Jasni Majed, Mas Ayu, Nismaya, Norfaizah Moha.Nor, Noryati Salleh, Noridah Awang, Noormah Milatu, Nur Din Zakaria, Nurhayati NM , Rose Ahmad, Rosli Jaya, Rodziah Ali, Rostina Moha.Ali, Rozaman Ismail, Suyuzi HB, Shukri Matt Ali, Saifuddin Awang, Tan Chin Siong, Tasliana, Wahidah Abu Bakar Sidek, M.Wari, Zainal Palit, Zulkeflee Zakaria, M.Shahid Abid,
Atur cara minggu remaja 13-16 September 1985
Jumaat, 13.9.1985
8.00 pag-12.00 tengah hari-Pendaftaran di wisma belia
12.00-1.00 ptg -makan tengah hari
1.00-2.00 ptg sembahyang jumaat
2.00-2.30 ptg-rehat
2.30 ptg bertolak ke DBP
3.00-5.00 petang-Majlis pelancaran buku Bunga Pelangi dan Biarkan Aku Sendiri di Sudut Penulis, DBP.
5.00 petang-bertolak balik ke Wisma Belia
5.30 ptg- 7.30 malam rehat, sembahyang asar dan maghrib
7.45 malam -Bergerak ke Bangunan MCOBA
8.00-10.00 malam-Majlis makan malam dan majlis suaikenal di Clubhouse lounge, MCOBA,Tingkat 5
10.00 malam-Balik ke Wisma Belia
Sabtu, 14.9.1985
8.00-8.30 Pagi -Sarapan di Wisma Belia
9.00 pagi-Majlis Pelancaran buku Tamadun Islam oleh YB.Encik Anwar Ibrahim di Balai Seminar, DBP.
11.00 pg-12.30 tgh-Taklimat DBP di Sudut Penulis dan lawatan ringkas
12.30 tgh-1.00 petang-Makan tengah hari di Sudut Penulis, DBP.
1.00-2.00 petang-Rehat dan sembahyang Zuhur di DBP.
2.00 ptg-Bertolak ke Utusan Melayu
2.30-4,15 petang-Lawatan di Utusan Melayu
4.15 petang Bertolak balik ke Wisma Belia
4.15 ptg-7.00 malam rehat dan sembahyang Asar
7.00 malam- Bertolak ke DBP
7.15-8.00 malam-Makan Malam di Ruang Legar DBP
8.00 -10.00 malam-Forum "Arah, Matlamat dan Masa Depan Penerbitan Remaja," di Sudut Penulis DBP
10.00 malam.Bertolak balik ke Wisma Belia
Ahad, 15.9.1985
8.00-9.00 pagi - Sarapan
9.00 pagi-Bertolak ke DBP
9.30pag-12.00 tgh-Majlis Apresiasi Buku-buku Remaja di Sudut Penulis DBP
12.30 tgh-1.00 ptg- Makan tengah hari di DBP
1.15 petang-Bertolak balik ke Wisma Belia
1.45-2.30 petang-Sembahyang Zuhur
2.30 petang-Bertolak ke Muzium
3.00-5.00 ptg-Lawatan di Muzium Negara
5.00 petang-Bertolak balik ke Wisma Belia
6.00 ptg-7.45 malam-Rehat, sembahyang Asar dan Maghrib
7.45 malam Bergerak ke Bangunan MCOBA
8.00-10.00 malam-Majlis Perpisahan di MCOBA
Isnin, 16.9.1985peserta pulang.

Saya rasa bertuah kerana menjadi salah seorang perintis pada Minggu Remaja kali ini apatah lagi dapat bertemu penulis hebat dan penyusun buku Biarkan Aku Sendiri iaitu Ali Majod.Manakala Ahmad Razali menyelenggara Bunga Pelangi.
Saya merasa teramat bertuah apabila buat kali kedua diadakan Minggu Remaja, saya terpilih sekali lagi menyertainya.Minggu Remaja Kedua telah diadakan pada 7 hingga 11 April 1986.Sekumpulan penulis remaja telah terpilih menjadi anak angkat DBP,Pada waktu itu Ketua Cawangan Remaja merangkap Pengerusi Minggu Remaja, 1986, En.Johan Jaafar,berpendapat bahawa Minggu Remaja akan memberikan satu kenangan kepada penulis remaja kerana mereka sama-sama menjadi sebahagian daripada peristiwa sastera yang penting itu.Antologi Impian Murni telah diterbitkan pada 7 April 1986 oleh Datin Masnah Rais.Dua kali berpeluang menyertai Minggu Remaja DBP membuatkan saya teruja dan berterima kasih pada DBP yang bersedia menerima saya untuk terus menjadi penulis.Memang rezeki dan tuah datang bergolek.Kenangan pada Minggu Remaja 1986 tidak dapat dilupakan.Apatah lagi dapat berkenalan dan bertukar pandangan.

Friday, September 11, 2009

teringatkan kawan-kawan

Seronoknya bila pertama kali menulis dan penulisan itu diterbitkan dalam majalah al-ulum iaitu satu-satunya majalah persatuan agama islam Sekolah Menengah Kebangsaan Port Dickson, Negeri Sembilan.Pada masa itu tahun 1979.Cerpen saya berunsur islamik sikit dan berjudul "Cahaya Keinsafan".Memang seronok berkarya.Pada waktu bersekolah ini, saya teringatkan kawan-kawan seperti fadzilah, melor, melati , hasnah, aishah, zalina, entah ke mana mereka sekarang.Mungkin masing-masing sudah ada keluarga dan kehidupan sendiri.Paling tidak lupa di Sekolah Menengah Kebangsaan Port Dickson ini ada ustaz handsome.Sebab tengok handsome sebab tengok muka ustaz itu terasa sejuk mata memandang.Ramai peminat rupanya ustaz Daud tu.Paling tidak kawan itu kata , memang ustaz itu baik, mungkin bakal menjadi abang iparnya.Entahlah.Dah berpuluh tahun saya tidak berjumpa kawan-kawan..Tapi bulan Ogos yang lalu saya dapat berbual mesra dengan kawan lama bernama fadzilah.Bayangkan berapa puluh tanun tidak berjumpa tetapi dapat juga berbual-bual mesra.Kalau boleh ingin saya bertemu melati yang kerap menghantar surat setelah saya berpindah sekolah di Sekolah Menengah Raja Ali Kuala Lumpur.Sebenarnya banyak yang ingin saya perkatakan tentang kawan-kawan seperti Jamatul Sabariah Abd Ghani yang dulunya bergelar cikgu.Kami rapat di Sekolah Menengah Raja Ali.Pun tidak tahu kenapa boleh putus begitu sahaja.Itulah bagi sesiapa yang ingin menjalinkan persahabatan, moga dapat diteruskan.

Tuesday, September 8, 2009

Menjaring Keyakinan

Saya menyemak fail puisi yang telah terbit pada 4 Oktober 1991 di Berita Harian bersamaan 26 rabiulawal 1412 hijrah berjudul menjaring keyakinan

Tatkala mencari ruang
kesilapan yang menerpa
ternyata kehambaran menyingkap
tabir naluri kesepian ini
dengan bahasa kebisuan
teramat janggal untuk dimengertikan
pandangan sepasang mata pasrah
melainkan cuba memahami
erti kehidupan hakiki
mengungkap segala perubahan
dengan keredaan Ilahi
tanpa merasa ragu lagi.
Tika menjaring keyakinan
seribu kekurangan yang mencengkam
serasa satu persatu gugur
di perhentian kelam
bersama sebuah pengharapan
yang tetap terpendam.

Begitulah bait-bait yang terungkap.Saya memang tidak dapat dapat lari dari hakikat bahawa saya tidak dapat dipisahkan dari dunia penulisan.Mungkin tidak sehebat kawan-kawan yang cemerlang di dunia penulisan.Pun masih ada rakan-rakan yang masih berhubungan.Terima kasih kenangan.