Wednesday, January 20, 2010

20012010

  • Betapa uniknya tarikh hari ini iaitu 20 januari 2010 atau singkatannya 20012010!Sebenarnya beberapa hari ini saya kehilangan semangat untuk membuat sesuatu yang terbaik khasnya menjelang 2010.Masakan tidak! saya tidak nampak perubahan yang benar-benar memberi kesan mendalam....atau sekurang-kurangnya saya keluar dari kepompong yang ada!Dalam banyak hal saya belum benar-benar berjaya!Kadangkala sudah tidak konsisten dengan penulisan pada hal inilah bidang yang diminati sejak dahulu.Lantas saya biarkan hari berlalu begitu sahaja......Apapun saya memang tidak lekang dari membaca....dan saya tertarik dengan buku U-Turn ke jalan lurus hasil nukilan zul ramli m.razali....dengan tajuk lihat apa yang kita lihat, fikir apa yang kita fikir.Dalam buku itu tercatat...Ibrahim Adham menasihati seorang pemuda agar melakukan perubahan dalam hidupnya.Beliau menjelaskan betapa perlunya berhijrah meneroka sesuatu yang baru untuk merangsang perubahan berterusan.
Pemuda itu akhirnya bersetuju.Keesokan harinya dia datang untuk mengucapkan salam perpisahan kepada Ibrahim Adham.Dia akan keluar berkelana mencari ilmu dan pengalaman untuk suatu tempoh yang panjang.Selepas tiga hari berlalu pintu rumah Ibrahim Adham diketuk.Amat mengejutkannya kerana pemuda tersebut telah berada di hadapannya.Ibrahim Adham bertanya kenapakah dia pulang lebih awal daripada apa yang dirancang sebelum ini....
"Dalam perjalanan permusafiran itu aku telah melalui padang pasir yang luas dan melihat suatu keajaiban di sebuah lembah." Pemuda tersebut memulakan ceritanya bersungguh-sungguh.
"Di sana Allah memperlihatkan kepadaku satu pengajaran yang sangat berguna.Dengannya aku membuat keputusan untuk pulang segera," ujar pemuda tersebut dengan penuh yakin.
"Apakah pengajaran hebat itu?" tanya Ibrahim Adham menagih jawapan.
"Di sebuah lembah dalam perjalanan itu aku menemui seorang lelaki malang." Pemuda itu menyambung kembali cerita dengan lancar.
"Dia dirompak....lebih dahsyat lagi kedua-dua tangan serta kakinya dipotong.Dia berada dalam keadaan yang sangat daif."Dia berhenti tetapi nampaknya semangatnya tidak berhenti.
"Apa yang mengejutkan aku ialah lelaki malang ini dibantu oleh seekor burung helang yang sentiasa berulang-alik terbang membawakan kepadanya makanan sehingga dia boleh meneruskan hidup," ujar lelaki tersebut dengan nada takjub, matanya bercahaya.
"Apa yang aku lihat itu memberikan pengajaran.Walau selemah mana seseorang itu..rezekinya tetap dijamin oleh Allah," ujar lelaki itu membuat kesimpulan yang memberangsangkan.
Ibrahim Adham faham kedudukan sebenar dan dengan pandangan simpati dia melihat kepada pemuda itu dan berkata,"Wahai pemuda...ini sebuah cerita yang hebat.."
"Tetapi kenapa dalam penyaksian itu kamu hanya melihat dan membuat kesimpulan tentang lelaki daif yang kudung tangan dan kakinya, sebaliknya tidak melihat kepada burung helang yang memberikan bantuan kepada pemuda daif tersebut?" desak Ibrahim Adham memancing pemikiran pemuda naif tersebut.
"Allah sebenarnya mahu memberikan pengajaran supaya kita boleh berfikir bukan sekadar tentang jaminan rezeki tetapi bagaimana menjadi seorang manusia yang boleh membantu orang lain,"ujar Ibrahim Adham memperbetulkan perkara paling asas.Bukan cerita tetapi cara membuat kesimpulan.
"Kenapa memilih untuk menjadi orang daif yang hanya hidup bergantung kepada belas ihsan orang lain?Tidakkah datang semangat untuk menjadi seperti helang yang hebat dan berupaya membantu orang lain?"
Kepala pemuda itu terangguk-angguk faham.Dia tersentak.Ada lagi yang tidak disedari dalam pengembaraan hebatnya.Ada sesuatu yang silap, bukan apa yang dilihat tetapi kesimpulannya.
Benar , nasihat Ibrahim Adham itu masih lagi terpakai sehingga kini.Apa yang dilihat oleh seseorang itu belum tentu dapat memberikan manfaat.Begitulah juga dengan apa yang difikirkannya.Ramai orang diberikan peluang menjelajah di seluruh pelosok dunia dan melalui pelbagai pengalaman ajaib.Malangnya mereka ini tersalah dalam membuat tafsiran serta tersilap merangkum kesimpulan.Di hujung cerita , tiada pengajaran bererti.
Alangkah runginya, peluang melihat dunia yang sarat dengan pengajaran ini gagal dimanfaatkan hanya kerana tersalah membuat kesimpulan.
Oleh itu sentiasalah bersifat saksama dan sentiasa lihat balik apa yang kita lihat dan fikir-fikirkan apa yang kita fikir.
...........................................dalam banyak hal saya mendapat pengajaran dari cerita ini....bagaimana anda.......????Moga-moga hati kita kembali mendekati kebenaran....

0 comments:

Post a Comment