Sunday, May 16, 2010

zaman ini


Saya menyelak kembali buku hadiah daripada Nor Ain Abd.Aziz bertajuk 'Gelombang' karya Usman Awang yang dihadiahkan pada saya pada tahun 1985 sempena hari ulang tahun saya.Kiranya itulah hadiah terakhir dia buat saya yang masih dalam simpanan.Sehingga kini saya sudah terputus hubungan tanpa khabar berita.Saya kira Ain memang meminati puisi seperti saya.Namun hingga kini saya tidak nampak karya-karyanya menghiasi mana-mana penerbitan.Pun saya berharap akan bertemunya kembali.....
Di dalam Gelombang saya petik karya Usman Awang berjudul:
"Zaman Ini"
Zaman ini serba pahit terasa
Hanyir darah masih membalut udara
Segala suara mati di rongga tak bernada.
Hati-hati bila bicara di muka siapa,
Kering mata menyisip antara ruang penjara.
Engkau penyair akan menulis segala cerita,
Penamu tajam boleh mengiris segala derita!
Zaman ini mengajarmu hidup berpura-pura,
Atau sekadar menyelamatkan diri menganggukkan kepala.
Engkau wartawan kutip berita antara manusia,
Penamu tajam dapat mencungkil keburukan mereka!
Engkau diam mengikat tangan di bawah meja,
Zaman ini memaksamu menulis yang baik belaka.
Semua menekan kerana di atasnya besi berpadu,
Segala menjemukan kerana padanya palsu-palsu.

Sempena hari guru hari ini saya memang ingin menghadiahkan setulus doa keikhlasan buat Pak Matlob yang saya anggap guru segala-galanya di dalam bidang penulisan khasnya.Jasanya teramat besar tika saya sedang bertatih mencari pegangan.Begitu cepat masa berlalu sehingga terasa bagaikan semalam sahaja segala ilmu itu dititipkan.Pada rakan-rakan penulis seperti Hanisah Othman,Shamsudin Othman , Tie Camar diucapkan Selamat menyambut hari guru dengan hati yang gembira.Pun istimewa juga pada ibu saya yang tidak menjawat apa-apa jawatan di jabatan swasta atau kerajaan kecuali sebagai suri rumah sepenuh masa....biarpun tiada ucapan hari ibu dititipkan kepadanya, saya rasa dialah juga ibu guru yang jasanya tidak terbalas oleh diri saya........

0 comments:

Post a Comment